Selasa, 22 September 2015

RIBUT TAUFAN BAWA JEREBU KE MALAYSIA


KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dan Sarawak dijangka terjejas ekoran ribut taufan di timur Filipina yang menolak angin dan membawa jerebu dari Indonesia kembali ke Malaysia mulai hari ini. Pegawai Meteorologi Kanan Pusat Cuaca Nasional, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata kawasan terlibat di Semenanjung termasuk bahagian selatan Perak ke bawah, pantai Barat hingga ke Johor serta sebahagian Pahang dan beberapa kawasan di Sarawak.

"Kawasan ini akan menerima angin ribut taufan yang membawa jerebu dari Indonesia namun tidak dapat dipastikan sejauh mana tahap keadaan jerebu yang akan berlaku," katanya kepada Bernama. Beliau berkata terdapat kemungkinan berlaku semula jerebu selepas keadaan beransur pulih dalam tempoh seminggu lepas, tetapi ia bergantung kepada tiupan angin sama ada sangat perlahan atau kuat dalam masa peralihan monsun yang sentiasa berubah-ubah. "Mungkin sukar untuk jerebu kembali tetapi sekiranya terdapat angin taufan yang baharu terbentuk, maka tidak mustahil jerebu akan kembali semula... semuanya bergantung kepada keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata memandangkan angin yang bergerak itu berlaku di kawasan tekanan tinggi ke rendah, taufan akan tetap terjadi pada kawasan mempunyai tekanan rendah kerana kedudukan Malaysia berhampiran dengan tempat berlakunya jerebu. "Itu punca mengapa negara kita mudah menerima asap dari negara jiran dan saya jangkakan ia akan berakhir pada penghujung bulan ini," katanya. Dalam perkembangan lain, Mohd Hisham berkata musim peralihan monsun yang melanda negara kini masih dalam keadaan baik dengan tiupan angin kencang dan ribut petir serta hujan juga dijangka berkurangan sehingga tiupan angin berubah menjadi normal. "Musim ribut petir dan kilat dijangka berkurang dalam masa seminggu akan datang tetapi tetap hujan, namun tidak secara menyeluruh di semua tempat," katanya. Beliau berkata pihaknya juga menjangkakan selepas tiupan angin taufan itu berakhir akhir bulan ini, keadaan seperti ribut petir dan banjir kilat akan berlaku seperti sebelum ini. - BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar