Rabu, 16 Februari 2011

MALAYSIA PERTARUH ENJIN CIPTAAN TEMPATAN

Malaysia buat pertama kali akan memperkenalkan teknologi enjin kenderaan Compress Natural Gas Direct Injection (CNGDI) ciptaan rakyat tempatan pada Ekspo Automekanika Antarabangsa yang akan berlangsung selama tiga hari di sini, bermula 31 Mac depan.

CNGDI merupakan hasil ciptaan pasukan penyelidik dari sebuah universiti tempatan dengan bantuan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan beberapa universiti lain yang menggunakan suntikan langsung gas semula jadi yang dimampatkan.

Teknologi enjin tersebut direka untuk disesuaikan dengan kenderaan berkapasiti enjin 1.6 liter Campro, khusus untuk model Proton.

Pameran auto mekanikal terbesar di Asia Tenggara itu merupakan anjuran Messe Frankfurt (HK) Ltd. (Messe) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan disokong oleh Institut Automotif Malaysia (MAI).

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, M. Madani Sahari berkata, CNGDI akan mempromosikan rekaan terbaharu Malaysia kepada dunia.

Katanya, ekspo itu bertujuan membuka mata dunia bahawa Malaysia turut mempunyai keupayaan menghasilkan enjin sebaik negara-negara maju yang lain seperti Jepun, Jerman dan lain-lain lagi.

Menurut beliau lagi, pameran tersebut turut memberi manfaat kepada pemain industri automotif di Malaysia dan dunia termasuk mereka yang terlibat dalam vendor, alat ganti dan aksesori automotif.

Katanya, kira-kira 200 hingga 250 pemain industri automotif tempatan dijangka mengambil bahagian terutamanya seminar yang turut dijalankan di dalam ekspo tersebut.

''Kami menganggarkan lebih 5,000 pemain industri automotif dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam Ekspo Automekanika pada Mac depan dengan penglibatan lebih daripada 150 buah negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman projek Ekspo Automekanika di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Messe Frankfurt HK, Jason Cao, Setiausaha Agung Kesatuan Juruteknik Automotif Malaysia, Cho Chee Seng dan Timbalan Presiden Persatuan Pengusaha Industri Bengkel Malaysia (PPIBM), Zaharudin Mohmad Tahir.

Setakat hari ini, sebanyak 100 peserta pameran automotif sudah menyatakan pengesahan untuk menyertai Ekspo Automekanika Antarabangsa iaitu Australia, Bangladesh, China, Jerman, Hong Kong, India, Indonesia, Korea, Malaysia, Singapura, Taiwan, Thailand, Turki dan United Kingdom.

Tambah Madani, salah satu tumpuan lain dalam ekspo tersebut ialah pembangunan teknologi hijau dalam sektor automotif.

Katanya, negara-negara yang mengambil bahagian akan mempersembahkan hasil kajian dan model-model teknologi hijau yang sudah dibangunkan.

''Pemadanan perniagaan di antara pemain industri tempatan dan antarabangsa turut dijangka berlaku pada ekspo tersebut,'' kata Madani.

Sumber dari : www.utusan.com.my

Tidak ada komentar:

Posting Komentar